Heboh di merata tempat, kedai kopi, sekolah, kolej dan universiti,
masyarakat membincangkan mengenai masalah sosial, politik dan ekonomi. Seringkali dilaungkan tentang globalisasi,
sama ada keluar daripada mulut atau dterjemahkan dalam penulisan.
Di kalangan professional, ahli perniagaan, dan pembuat dasar, globalisasi
seolah-olah menjadi satu perkataan yang tidak asing, malah inilah yang menjadi topik
utama, sama ada memilih menjadi sebahagian dari globalisasi. Persoalannya, adakah menyertai sebagai
peserta atau mangsa?
Secara umumnya, globalisasi merupakan proses yang membolehkan sesuatu
aktiviti (ekonomi, kebudayaan dsb) diperluas ke peringkat antarabangsa. Perkembangan
sistem komunikasi, dasar terbuka dsb: dalam era ~ sekarang ini, kita terdedah kepada
pengaruh budaya luar.
Faktor utama ialah, perkembangan pesat pasaran kewangan dunia secara
tidak langsung membuka ruang untuk sesuatu aktiviti (ekonomi, kebudayaan dsb)
ke peringkat global. Selain itu, ia juga
bermatlamat untuk memajukan perniagaan ke tahap antarabangsa dan silang budaya
antara masyarakat dunia.
Globalisasi juga merupakan proses integrasi dan interaksi antara
manusia, syarikat-syarikat dan kerajaan pelbagai Negara. Berikutan itu, ia
merupakan satu proses yang dipacu oleh perdagangan dan pelaburan antarabangsa
yang disemarakkan oleh kepesatan teknologi.
Ini bermakna globalisasi adalah
satu proses untuk menjadikan dunia bergerak sebagai satu, meletakkan pelaburan
dan perdagangan di bawah satu payung, menjadikan manusia bersatu atas etika
menerima kepelbagaian (plurality) dan meraikan budaya serta agama tanpa
konfrontasi dan kekerasan. Dalam erti
kata lain, globalisasi memerlukan sifat keterbukaan dalam meraikan keberagaman
idea, budaya dan agama masyarakat dunia.
Inilah realiti globalisasi yang dipandu oleh sistem pasaran bebas atau
kapitalisme. Keuntungan atau hasil menjadi tujuan utama globalisasi. Hakikat
ini tidak boleh dinafikan oleh masyarakat. Kita tidak mampu menipu diri sendiri
kerana sudah terpampang di depan mata bagaimana sesetengah syarikat yang
mengambil tanah orang awam dan bank yang mengenakan faedah yang tinggi kepada
peminjam, demi keuntungan dan pembangunan. Hutan ditebang dan gunung ditarah
demi kononnya sebuah kemajuan. Inilah realiti globalisasi hari ini.
Globalisasi merupakan proses normal yang dialami oleh setiap tamadun.
Saya mengambil contoh tamadun Islam dahulu. Tamadun Islam yang terpecah amnya
kepada zaman Umayyah, Abbasiah, Uthmaniyah turut mengalami proses globalisasi.
Persoalannya ialah bagaimana mereka menguruskan ekonomi melalui satu
sistem yang satu, iaitu sistem ekonomi Islam? Mereka cuba menyatukan tanah
jajahan mereka melalui hegemoni, sama ada melalui seni, reka bentuk dan budaya.
Buktinya kita boleh melihat asimilisasi unsur keislaman di setiap tanah jajahan
Islam. Istana Cordova di Sepanyol dan seni reka bentuk masjid dan istana di
setiap jajahan Islam mempunyai unsur yang sama adalah bukti bahawa globalisasi
pernah berlaku di tamadun-tamadun ini.
Kembali kepada realiti hari ini, globalisasi yang dipacu oleh kuasa-kuasa
besar seperti Amerika contohnya, menganjurkan pelbagai projek perniagaan
seperti The Trans-Pacific Partnership Agreement (TTPA) adalah satu proses
globalisasi melalui bidang ekonomi. Hal
ini dapat dilihat melalui tindakan Amerika Syarikat yang cuba menyatukan
negara-negara asia pasifik di bawah satu kerjasama perdagangan dan pelaburan
yang bebas.
Ini bermakna pelabur-pelabur dari semua negara yang terlibat dengan
perjanjian ini bebas untuk “berniaga”. Projek menjadikan perniagaan di bawah satu bumbung diketuai Amerika syarikat adalah projek ulung globalisasi pada hari ini.
Tidak lengkap jika membincangkan globalisasi tanpa membincangkan
liberalisasi. Liberalisasi yang bermaksud bebas ini ialah bebas dari dogma
agama dan budaya yang memisahkan masyarakat yg berlainan latar agama dan
budaya. Kejayaan liberalisasi diperlukan untuk memudahkan masyarakat menerima
globalisasi lantas menjadikan impian globalisasi ini tercapai dengan berjaya.
Apabila masyarakat sudah liberal (baca bebas) dan mampu meraikan perbezaan serta mampu
menerima idea globalisasi ini memudahkan golongan pemodal melabur dan berniaga.
Diingatkan kembali bahawa tujuan globalisasi yang dipimpin kapitalis pada hari
ini adalah untuk keuntungan dan hasil.
Pelbagai projek integrasi budaya antara negara-negara yang sedang dijalankan pada hari ini di
universiti, sekolah dan sebagainya adalah bukti bahawa projek globalisasi dan
liberalisasi sedang giat dijalankan. Pertukaran teknologi dan latihan
ketenteraan bersama merupakan satu projek-projek kecil di bawah projek agung
globalisasi yang dipimpin oleh tamadun kapitalis pada hari ini.
Pelbagai projek-projek kecil ini dilakukan demi menjaga kepentingan
projek globalisasi pada hari ini. Kepelbagaian dalam kesatuan ini adalah kunci
kepada kejayaan globalisasi. Walaupun hutan ditebang, loji nuklear yang
memudaratkan dibina dan tanah dipaksa dirampas, kita akan dipaksa menerimanya dan
tidak mampu melawan kerana globalisasi yang dipimpin oleh kapitalis ini
berkiblatkan keuntungan.
Tidaklah saya mahu mengatakan bahawa globalisasi yang dipimpin oleh sistem
kapitalis pada hari ini buruk semuanya. Masih ada perkara baik yang boleh
dipuji. Contohnya dari segi kemajuan teknologi, pembangunan dan sebagainya
adalah perkara yang kita boleh katakan sebagai nikmat hasil globalisasi.
Kita mampu memiliki teknologi internet, kemajuan seni bina dan
kemudahan logistik adalah kerana globalisasi. Globalisasi ini adalah normal dan
dilalui oleh semua tamadun yang pernah wujud di dalam dunia ini. Manusia
berinteraksi dan berintegrasi demi perdagangan dan perniagaan, berkongsi
teknologi dan bertukar tukar ilmu. Ini adalah natural dan sifat manusiawi yang
hidup bermasyarakat. Menyokong globalisasi dn liberalisasi bukanlah satu dosa
malah ia adalah satu proses kemajuan.
Tiada tamadun yang kekal selamanya. Masih adakah alternatif lain yang
mampu menggantikan sistem yang ada pada hari ini? Bagaimanakah bentuk
globalisasi pada masa hadapan? Masihkah materialistik dan keuntungan menjadi
matlamat manusia? Adakah manusia akan bangun melawan globalisasi hari ini
dengan menganjurkan satu sistem yang lebih baik menggantikan sistem kapitalis
hari ini? Adakah sistem tidak ditukar tetapi sistem kapitalis ini digantikan
dengan sistem yang lebih mengutamakan nilai manusiawi dan kebajikan berbanding
keuntungan?
Kesimpulannya, globalisasi harus dijana dengan penuh tanggungjawab.
Keuntungan bukanlah lesen untuk kita merosakkan alam dan menghalalkan
penindasan. Tidak kira apa sistem sekalipun tanggungjawab perlu ada dan harus
menghormati hak manusia dan alam. Jika system hari ini terus gagal
bertanggungjawab, maka ianya perlu diganti dengan alternatif yang lain.
No comments:
Post a Comment