Monday, 6 July 2015

SOLIDARITI DAN SETIAKAWAN


SOLIDARITI DAN SETIAKAWAN

Solidariti bukanlah bererti melawat orang di lokap-lokap, SOLIDARITI ialah bekerja bersama-sama dalam menjayakan sesuatu tujuan (perjuangan).Ini adalah JALAN KELUAR kepada semua masyarakat Malaysia.

Menumbangkan kerajaan yang korup dan menghapuskan penindasan dan diskriminasi merupakan cita-cita mulia. Ambisi mulia ini tidak akan tercapai jika kita bercakaran. Hulurkan tangan, jalinkan kasih dan saling bertolak ansur serta hormat menghormati. BERSATULAH dan MELAWAN dalam satu ketumbukan.

Ketepikan dahulu agenda peribadi, ketepikan dahulu segala sakit di hati. Ayuh kita mengambil sikap untuk peduli kepada negara ini. Pembebasan negara ini adalah pembebasan diri. Pembebasan ini akan menjadi contoh kepada generasi akan datang. Sudah pasti kita tidak mahu perjuangan ini menjadi bahan ketawa anak cucu kita pada masa akan datang.

BERSOLIDARITILAH wahai semua anak muda sekalian bangsa. Kita tidak mampu mengubah negara ini bersendirian melainkan kita bersatu untuk menjadikan Malaysia lebih baik, ayuh BERSATU dan MELAWAN!!!!

JALAN KELUAR KITA IALAH MENGHUMBAN SEMUA KORUPTOR KE DALAM PENJARA!!!


SOLIDARITI DAN SETIAKAWAN





Sunday, 5 July 2015

DAP dan ejakulasi pra- matang.

apakah benar DAP kini telah menjadi pilihan anak muda? Adakah DAP dilihat sebagai sebuah parti yang mampu memuaskan hati semua pihak? Adakah DAP adalah parti yang dilihat sama kuat dengan UMNO?

Saya memuji taktikal politik DAP yang begitu mesra dengan rakyat. Bagaimana DAP berjaya menarik sokongan orang Melayu. Pencapaian DAP yang terhebat bagi menarik sokongan orang Melayu ialah berjaya menempa Pak Samad sebagai token untuk menarik sokongan orang Melayu.

Orang Melayu tidak suka melihat pemimpinnya hanya menjadi token. Ini realiti yang perlu DAP telan. DAP tidak perlu bersetubuh dengan bantal hanya kerana "Melayu Internet" seolah-olah memberi sokongan kepada DAP.

Gabungan Anak Muda yang mendesak supaya parti pembangkang di Malaysia bersatu. Desakan ini adalah untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional. Gabungan Anak Muda tidak berminat untuk menyertai DAP kerana minat kami yang sebenarnya ialah menjatuhkan kerajaan yang korup.

Ketika DAP Sabah dan Sarawak memutuskan hubungan dengan PAS pada mac lalu. Anak muda melihat PAS sebagai sebuah parti yang bermasalah. PAS dilihat sebagai perosak Pakatan Rakyat. Sehinggalah muktamar Jun lalu yang menjadi kemuncak perpecahan Pakatan Rakyat.

Saya tidak mendaftar mengundi dan tidak akan mengundi pilihanraya di Malaysia. Saya tidak akan mengundi DAP dan saya juga tidak akan mengundi UMNO. Apa yang saya mahu ialah kerajaan UMNO ini dijatuhkan dan seterusnya membuka sepenuhnya ruang demokrasi.

Saya melihat isu perpecahan ini sebagai satu bala kepada harapan rakyat untuk melihat UMNO jatuh. Selain itu, saya juga tidak nampak sokongan orang Melayu kepada DAP bertambah selepas perpecahan ini. Adapun orang PAS yang keluar menyertai DAP bukanlah bermakna MELAYU telah menyokong DAP.

Selain itu, ini adalah mesej jelas dinosaur politik, Lim Kit Siang bahawasanya DAP adalah sebuah parti Cina yang berkerjasama dengan Melayu dan India atas dasar demokrasi. Jika Lim Kit Siang menafikan hak orang Islam untuk melaksanakan hudud, Orang Islam juga berhak untuk menentang dasar demokrasi dan liberalisma.

Ada baiknya Lim Kit Siang dan kawan-kawannya menutup mulut dari terus melukai hati orang Islam yang kelihatan bersabar. Bersabar untuk apa? untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional.Dinosaur politik seperti Lim Kit Siang, Hadi Abdul Awang ini perlu anak muda tolak.

Idea mereka ketinggalan zaman, ketika mereka menyuarakan demokrasi, mereka mengamalkan kukubesi. Lebih kasihan sosok ini yakin yang mereka mendapat sokongan orang Melayu. Ejakulasi pra matang kononnya melayu sudah menyokong DAP. kah kah kah

Oleh sebab itu, anak muda harus bersatu. Anak muda semua bangsa harus bersatu. Sampai bila orang-orang tua  ini yang akan membuat keputusan untuk negara ini. Adakah anak muda hanya macai? Adakah anak muda hanya layak bekerja menjayakan cita-cita orang-orang tua ini? Anak muda harus berani menegakkan kemahuan dan idea masing-masing.



SOLIDARITI DAN SETIAKAWAN

ANAK MUDA SEMUA BANGSA BERSATULAH!


Saturday, 4 July 2015

Sebuah Jalan Keluar

Anak muda Malaysia sedang melalui fasa pencerahan. Fasa ini adalah fasa yang rumit dan kompleks. Kehidupan masyrakat hari ini menjadi begitu kompleks. Keupayaan untuk melihat, menilai seterusnya menyelesaikan masalah semakin berkurangan.

Anak muda Malaysia meneroka ideologi dan berkerja membawa pencerahan ketika masyarakat hidup dalam keadaan yang kompleks. Tugas membawa pencerahan (idea-idea pembaharuan) ini bukanlah mudah kerana masyarakat mempunyai permintaan (demand) yang tinggi.

Kebebasan beragama, LGBT,  kebebasan bersuara, dan segala jenis permintaan masyarakat ini terlalu kompleks dan bermacam-macam. Di malaysia, ada yang mahu masuk syurga, tidak percaya kepada syurga dan tidak peduli dengan syurga. Ianya begitu sukar untuk memenuhi selera masyarakat Malaysia.

Bagi memenuhi permintaan ini, idea-idea pembaharuan telah dilontarkan oleh ramai individu atau organisasi pencerahan di Malaysia. Sudah pasti di dalam mengolah persetujuan manusia memerlukan kompromi dan diplomasi yang tinggi. Idea yang dibawa juga perlu bersesuaian dengan asas pembentukan masyarakat Malaysia.

Bagi segelintir ahli masyarakat Malaysia, idea-idea pembaharuan ini adalah jalan keluar. Jalan keluar dari dunia konservatif dan kejumudan masyarakat. Sebuah alternatif kepada doktrin perkauman yang memecah belahkan masyarakat. Idea yang radikal lagi kritikal merupakan jalan keluar kepada masyarakat Malaysia.

Kehendak masyarakat hari ini juga telah berubah. Kerajaan yang selama ini mendewakan pembangunan bangunan tidak lagi mampu memuaskan hati masyarakat. Akhirnya sebuah kerajaan yang memanjakan rakyatnya dengan kemudahan akan berhadapan dengan pelbagai tuntutan yang tidak mudah (kehidupan masyarakat yang kompleks menjadikan kehendak masyarakat itu turut menjadi rumit dan kompleks).

Pelbagai cukai terpaksa diadakan bagi menampung kehidupan masyarakat yang kompleks dan manja. Perkara ini berpunca dari kehendak masyarakat yang kompleks yang akhirnya menjadikan keupayaan masyarakat untuk menyelesaikan masalah turut menjadi rumit. Masyarakat menunding jari kepada kerajaan seperti anak manja menuding mainan kegemarannya kepada ayahnya.

Akibatnya kerajaan merasakan dirinya begitu berkuasa. Rakyat takut untuk menjatuhkan kerajaan kerana pengharapan kerajaan akan memenuhi semua kehendak mereka. Di Malaysia, keadaan ini lebih teruk.Dikuasai oleh sebuah parti berasaskan kaum dan kehendak parti mereka kononnya adalah kehendak rakyat dan kehendak mereka kononnya adalah kehendak Sultan dan Raja Melayu.

UMNO yang membawa suara majoriti Melayu melakukan apa sahaja yang dimahukan kerana kehendak mereka konnya adalah kehendak majoriti. Ini adalah doktrin yang dibawa oleh sebuah kerajaan UMNO. Idea- idea pembaharuan dalam masyarakat Malaysia menentang doktrin jahat ini. Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang memntingkan nilai kesaksamaan dan ksesetaraan.

Pertembungan idea-idea pembaharuan di kalangan "penentang kerajaan" telah memisahkan entiti-entiti kecil di malaysia. Jalan keluar kepada doktrin jahat kerajaan telah terbuka luas. Ia datang dalam bentuk idea-idea pembaharuan yang akan membawa pembaharuan kepada sebuah negara dunia ketiga, Malaysia.

Proses ini telah mengubah kedai kopi menjadi medan perbincangan idea baru. Kumpulan kecil bergerak mengadakan forum pecerahan, menulis makalah pencerahan dan revolusi kehidupan bermula secara perlahan di kalangan rakyat Malaysia.

Proses ialah mengubah sesuatu kepada sesuatu yang lain. Jika proses membuat kereta itu bermula dari melombong besi kemudian dihantar ke kilang sebelum besi itu dibentuk dan ditambah nilai fungsi menjadi sebuah kereta.Begitu juga dengan kilang kereta, setiap kilang menghasilkan kereta yang berlainan. BMW akan mengeluarkan kereta yang menonjolkan kriteria BMW, kilang PROTON akan menghasilkan PROTON, ia tidak menghasilkan BMW.

Banyak idea dari ideologi yang berbeza-beza. Idea ini adalah jalan keluar. Malangnya jalan keluar ini telah membawa masyarakat kepada  perdebatan dan pergaduhan yang tidak membawa penyelesaian. Sekaligus memberi talian hayat kepada kerajaan UMNO yang pincang. Sekali lagi dingatkan ini adalah PROSES DEMOKRASI.

Bagaimana jalan keluar ini mampu memberikan jalan keluar yang sebenarnya kepada masyarakat Malaysia? Jalan keluar dari pergelutan ini adalah "SOLIDARITI". SOLIDARITI ialah melakukan sesuatu tugas(pekerjaan) bersama-sama. Melalui SOLIDARITI kita akan lebih memahami antara satu sama lain.

SOLIDARITI DAN SETIAKAWAN

Solidariti bukanlah bererti melawat orang di lokap-lokap, SOLIDARITI ialah bekerja bersama-sama dalam menjayakan sesuatu tujuan (perjuangan).Ini adalah JALAN KELUAR kepada semua masyarakat Malaysia.

Menumbangkan kerajaan yang korup dan menghapuskan penindasan dan diskriminasi merupakan cita-cita mulia. Ambisi mulia ini tidak akan tercapai jika kita bercakaran. Hulurkan tangan, jalinkan kasih dan saling bertolak ansur serta hormat menghormati. BERSATULAH dan MELAWAN dalam satu ketumbukan.

Ketepikan dahulu agenda peribadi, ketepikan dahulu segala sakit di hati. Ayuh kita mengambil sikap untuk peduli kepada negara ini. Pembebasan negara ini adalah pembebasan diri. Pembebasan ini akan menjadi contoh kepada generasi akan datang. Sudah pasti kita tidak mahu perjuangan ini menjadi bahan ketawa anak cucu kita pada masa akan datang.

BERSOLIDARITILAH wahai semua anak muda sekalian bangsa. Kita tidak mampu mengubah negara ini bersendirian melainkan kita bersatu untuk menjadikan Malaysia lebih baik, ayuh BERSATU dan MELAWAN!!!!

JALAN KELUAR KITA IALAH MENGHUMBAN SEMUA KORUPTOR KE DALAM PENJARA!!!


SOLIDARITI DAN SETIAKAWAN




Friday, 3 July 2015

Nilai-nilai yang telah hilang.

"Salmah, kau dah bagitau pada Mak Jah yang esok kita nak pinjam pinggan mangkuk dia untuk kenduri arwah ayah kau esok? Dah 3 tahun ayah kau tinggalkan kita, mujur masih ada jiran-jiran dan saudara mara membantu kita. Tidaklah terasa terkilan dan kempunan.

Kau jangan lupa kelas mengaji Al Quran dengan tok Imam, mak dah bagitahu kat dia yg kau dh cukup umur kena wajib belajar mengaji. Tok Imam tak minta duit, cuma dia minta kau dtg bawa Quran sendiri.

Tak lama lagi dah nak raya, biasanya tok amil datang dah nak kutip zakat, mungkin tak sihat agaknya. Eloklah kalau kita sendiri yg ke rumah tok amil untuk bayar zakat."


Ini bebelan yang mungkin dibebelkan seorang janda kepada anak daranya. cerita ini semakin asing di telinga, lantaran kemajuan teknologi dan globalisasi yg sedikit sebanyak mengubah cara berfikir dan budaya kita sendiri.

Masyarakat kampung hidup kesatuan yang padu. Membina sebuah kampung seperti membina sebuah keluarga. Memerlukan kerjasama, perpaduan dan sikap tidak mementingkan diri sendiri. Nilai ini semakin hari, semakin hilang kerana "kesusahan" membina sebuah kampung itu sudah lagi tidak dirasakan.

Di kampung apabila adanya kenduri maka berduyun-duyun orang kampung membawa pisau, batu asah dan periuk kawah untuk bergotong royong. Orang kampung miskin, maka berkongsi itu lebih baik. Masa itu, tiada internet, semua berbual dan berinteraksi menggunkan mulut. Orang Kampung mempunyai falsafah hidupnya sendiri. "Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat".

Di awal pembinaan kampung, rumah-rumah didirikan secara gotong royong. Tiada syarikat hartanah dan tiada pemaju perumahan Walaupun biliknya satu, tandasnya di luar , namun di kampung tiada masalah air. Orang kampung mampu hidup sebegitu kerana "kesusahan" yg dialami membuatkan mereka berasa senang di atas semua perkara.

Nilai ini telah hilang ditelan masa. Dahulunya amil pergi rumah ke rumah untuk mengutip zakat, kini amil duduk di dalam bilik berhawa dingin dan kaunter-kaunter. Maka ada jurang yang jauh antara amil dan pembayar zakat. Seolah-olah amil itu pengutip cukai dan pemohon zakat seperti peminta sedekah. Hal ini berlaku kerana nilai kasih sayang itu telah dipadam oleh sistem formaliti yang menjadikan zakat itu hilang rohnya.

Zakat yang merupakan tanda solidariti dan kesanggupan untuk berkongsi sama rata kesenangan yang ada. Namun kini telah menjadi pertandingan mengumpul kutipan zakat paling banyak dan pertandingan siapa paling bayak bayar zakat. Masyarakat kampung dulu hidup dalam kesamarataan kelas dan bahu membahu. Kini masyarakat hidup dalam persaingan dan yang kaya semakin kaya manakala miskin semakin miskin.

Timbang rasa dan bertolak ansur dalam semua perkara. Sesuatu perkara akan dibincangkan dan diputuskan dengan mengambil kira pendapat semua ahli penduduk kampung. Inilah yang dilakukan oleh orang kampung yang kadangnya tidak reti membaca dan mengira! kini, lihatlah pemimpin kita, mempunyai mulut tetapi tiada telinga! Lihatlah melayu berebut tapak bazar, seperti kera berebut pisang sebiji.

"Kesusahanan" itu tidak dikongsi oleh semua orang seperti masyarakat di kampung. Kini kesusahan itu adalah milik privasi dan masyarakat mudah lupa. Masyarakat melayu dulu tinggal di setinggan sehinggalah kerajaan merobohkan setinggan dan membina perumahan rakyat seperti Flat. Kesusahan yang lama dilupakan setelah mendapat kesenangan.

Akhirnya kini masyarakat yang sudah melupakan kesusahan mereka di atas kesenangan telah ditindas dan di bodoh- bodohkan oleh pemimpin mereka. kasihan!

Pendidikan yang berkualiti itu bukanlah bermakna semua orang berjaya di dalam perperiksaan. Pendidikan yang berkualiti itu apabila kita mampu memahamkan manusia lain bahawa hidup ini banyak perkara yang tidak boleh dilakukan sendirian. Manusia memerlukan kerjasama dan bantuan orang lain. Jika pendidikan kita hanya melahirkan individu yang mementingkan diri sendiri, maka ketahuilah kita telah gagal.

Jujur dan peka dengan apa yang berlaku. Orang kampung yang miskin dan hina itu sentiasa peka. Jika ada jiran yang sakit maka tidak putus-putus lawatan dari jiran sekampung. Jika ada yang mengalami masalah maka berduyunlah yg datang membantu sekadar kemampuan.

Kejujuran orang kampung dalam berniaga adalah sesuatu yang harus dicontohi. Nilai dan budaya masyarakat sendiri kita tidak mahu ikut dan kita memilih untuk melakukan sebaliknya. Tidak hairanlah ramai anak Malaysia yang terpengaruh dengan MLM yang nyata merugikan dan membodohkan.

Nilai-nilai yang hilang ini tidak mampu di cari walaupun anda telah membaca buku "Permata Yang Hilang" berulang kali.




Wednesday, 26 November 2014

Liberalisme Mengubah Kampung Menjadi Bandar

Liberal atau bebas sedang melanda ke kampung kampung. Jangan tidak tahu bahawa liberalisme yang sedang masuk ke kampung kampung ini adalah hasil kerja kerajaan Malaysia yang sedang giat menyebarkan faham liberalisme.

Orang kampung diseru supaya celik IT, disuruh pergi ke sekolah, disuruh membaca dan disuruh supaya memajukan diri. Ini adalah bentuk liberalisme yang sedang diterapkan kepada orang kampung.

Liberal ini bermaksud bebas. Bebas itu bererti mempunyai ruang untuk menyebarkan ekspresi, fahaman, ideologi dan informasi. Bebas juga bererti bebas untuk berpersatuan, berparti (parti politik), berdiskusi, berdebat, dan berdemonstrasi.

Sedar tidak sedar dari paderi sehinggalah kepada petani di kampung, semuanya menganut faham liberalisme. Semua orang di negara Malaysia ini sedang mengamalkan faham liberalisme. Buktinya mereka menyertai pilihanraya, mereka percaya kepada kebebasan bersuara, percaya kepada bahawa ada ruang di negara ini untuk mereka menyampaikan idea, pendapat dan bantahan.

Walaupun ada di kalangan rakyat Malaysia  yang menolak fahaman liberal tetapi mereka menyertai pilihanraya, mereka menubuhkan parti. Agak sangsi dengan mereka yang keliru ini. Mungkin sistem demokrasi berparlimen berasaskan perlembagaan ini tidak di fahami dengan baik oleh golongan ini.

Fahaman liberal inilah yang membuka ruang demokrasi, ruang untuk bersuara, ruang untuk berpersatuan, ruang untuk menyampaikan kritik.Tetapi fahaman ini ditolak oleh segolongan rakyat Malaysia atas alasan bertentangan dengan agama.

Saya berfikir, jika fahaman liberal ini tidak wujud, di UK, Russia, Jerman, Amerika, dan negara negara barat yang lain, sudah pasti umat Islam akan dihalau keluar dari negara terbabit dan dihalang untuk mengamalkan agama Islam.

Saya juga berpendapat jika agama Islam  tidak mendokong liberal/kebebasan dan menjamin hak untuk beragama, bagaimana dahulu di Jerusalem Islam mampu untuk mentadbir dengan majoriti penduduk di sana beragama yahudi dan nasrani?

Saya keliru dan sangsi dengan segolongan orang yang menetang faham liberalisme di malaysia ini. Liberalisme ini adalah satu faham yang menjamin kebebasan untuk berfikir. Orang yang anti liberalisme ini adalah orang yang malas berfikir dan hanya mahu disuap.

Orang yang anti liberalisme atau konservatif ini juga anti kemajuan dan ketinggalan zaman. Saya berfikir apakah yang akan terjadi jika fahaman liberalisme ini tidak ada? maka dunia tidak akan maju, pentadbiran akan dikuasai oleh orang agama yang menggunakan agama sebagai benteng. Ilmu sains diharamkan dan kemajuan tidak akan bergolek dari langit.

Saya juga berfikir apa sumbangan yang menjadikan orang anti liberalisme ini hebat? Laman blog untuk saya berceloteh ini dicipta oleh seorang yang liberal, komputer dicipta oleh seorang ateis, facebook dicipta oleh seorang ateis yang liberal, dan lebih kelakar orang yang menentang liberal ini menggunakan medium liberal ini untuk menyampaikan dakyah anti-liberal.

Tanpa menyedari mereka juga sedang mengamalkan liberalisme. Mereka mengatakan ini adalah hak kami untuk bersuara dan menyampaikan kebenaran.Mereka menyebarkan idea mereka, kritikan dan pandangan.Semua hak ini tidak akan ada jika manusia tidak liberal.. Adakah ini lesen untuk menafikan hak orang lain?

Saya juga berfikir adakah sangat melampau golongan yang dikatakan liberal di malaysia ini? adakah mereka menuntut supaya agama diharamkan di malaysia? Adakah mereka menuntut supaya wanita tidak dibenarkan berhijab? adakah mereka menuntut supaya semua gereja dan masjid diruntuhkan dan digantikan dengan kelab gay dan lesbian?

Pendirian saya tetap. liberalisme ini hanyalah bahasa. Ia bererti kebebasan dan ruang untuk kita berwacana dan merencana dengan apa yang kita percaya. Saya juga menanti bahawa liberalisme ini akan diterjemahkan ke dalam bahasa arab agar ianya mudah difahami oleh segelintir masyarakat di Malaysia.



Monday, 17 November 2014

Restoring the traditional order. (bahagian 1)

Restoring the traditional order (mengembalikan pemerintahan tradisional berhaluan kanan dan fasis)
Esei oleh : Noam Chomsky 


Perancang pasca perang seperti Kennan (George Kennan merupakan ketua bahagian pembangunan negara AS sehingga tahun 1950) mengerti bahawa adalah amat penting kepada  korporat Amerika@US berwaspada jika masyarakat industri barat cuba bangun semula selepas menghadapi kemusnahan dan kerosakan akibat perang supaya mereka (industri barat) mengimport barangan US dan US harus bersedia menyediakan peluang pelaburan.

Tetapi amat  penting untuk masyarakat industri ini bangun semula mengikut acuan US.

Pemerintahan bercorak tradisional dan haluan kanan harus dikembalikan. Dengan dominasi perniagaan, buruh dipisahkan (tanpa kesatuan) dan dilemahkan, dan beban pembinaan semula sektor industri diletakkan di atas bahu kaum pekerja dan orang miskin.

Perkara besar yang menghalang kepada proses pengembalian order haluan kanan ini adalah gerakan antifasis dan golongan kiri di seluruh dunia. 


Jadi US meletakkan golongan kolaborasi antara fasis dan nazi di dalam pemerintahan acuan mereka.Kadangkala ia memerlukan paksaan dan keganasan, kadangkala ianya dilakukan dengan cara yang lembut seperti penipuan pilihanraya dan sekatan ekonomi.



Cara ini telah dilakukan pada tahun 1942 apabila Presiden Roosevelt melantik Admiral Perancis, Jean Darlan sebagai Gabenor-General kepada semua jajahan Perancis, Afrika Utara.Darlan merupakan ketua kolaborator Nazi dan penulis undang undang anti semitik yang dijadikan sebagai undang undang oleh kerajaan Vichy (boneka rejim nazi di Perancis).

Tetapi jauh lebih penting dalam usaha ini ialah kawasan pertama di eropah yang merdeka iaitu selatan Itali. US@Amerika Syarikat mengikut nasihat Churchill (perdana menteri Britain ketika itu) melantik hero perang yang fasis iaitu Field Marshall Bagdolio dan King Victor Emmanuel III untuk mengetuai kerajaan haluan kanan yang diktator di situ.


Perancang Perancang ekonomi US mengerti bahawa “ancaman” di eropah bukan sahaja Soviet malah juga gerakan antifasis yang membawa idea demokrasi yang radikal dan juga kemunculan parti parti komunis tempatan. 

Untuk menghalang kemelesetan ekonomi yang akan menganggu gugat pengaruh mereka dan bagi membina semula ekonomi kapitalis di barat, US telah telah merancang satu rancangan iaitu Marshall Plan (eropah telah diberikan dana lebih dari $12 billion dalam bentuk pinjaman dan geran antara tahun 1948 dan 1951, dana ini kemudiannya digunakan untuk membeli eksport US ke eropah yang kemuncaknya pada 1949). 



Di Itali, gerakan kaum pekerja dan proletar yang diketuai Parti Komunis Berjaya mengalahkan 6 divisyen tentera jerman semasa perperangan dan Berjaya memerdekakan utara Itali. 


Selepas US membawa tenteranya masuk ke Itali, mereka menghancurkan gerakan antifasis ini dan mngembalikan struktur pemerintahan haluan kanan yang fasis.

Itali merupakan salah satu kawasan utama yang diawasi oleh CIA semenjak agensi ini ditubuhkan. Kerisauan CIA  bertambah apabila Parti Komunis Berjaya memenangi kuasa secara sah di dalam pilihanraya Itali 1948. 


Pelbagai cara dan teknik dilakukan termasuklah membentuk pasukan polis yang fasis, menghancurkan kesatuan buruh dan mencatu makanan.Walaupun pelbagai cara dilakukan tetapi belum jelas Parti Komunis Berjaya dikalahkan…..bersambung





Saturday, 15 November 2014

Globalisasi Proses Normal Setiap Tamadun

Heboh di merata tempat, kedai kopi, sekolah, kolej dan universiti, masyarakat membincangkan mengenai masalah sosial, politik dan ekonomi.  Seringkali dilaungkan tentang globalisasi, sama ada keluar daripada mulut atau dterjemahkan dalam penulisan.
Di kalangan professional, ahli perniagaan, dan pembuat dasar, globalisasi seolah-olah menjadi satu perkataan yang tidak asing, malah inilah yang menjadi topik utama, sama ada memilih menjadi sebahagian dari globalisasi.  Persoalannya, adakah menyertai sebagai peserta atau mangsa?
Secara umumnya, globalisasi merupakan proses yang membolehkan sesuatu aktiviti (ekonomi, kebudayaan dsb) diperluas ke peringkat antarabangsa. Perkembangan sistem komunikasi, dasar terbuka dsb: dalam era ~ sekarang ini, kita terdedah kepada pengaruh budaya luar.
Faktor utama ialah, perkembangan pesat pasaran kewangan dunia secara tidak langsung membuka ruang untuk sesuatu aktiviti (ekonomi, kebudayaan dsb) ke peringkat global.  Selain itu, ia juga bermatlamat untuk memajukan perniagaan ke tahap antarabangsa dan silang budaya antara masyarakat dunia.              
Globalisasi juga merupakan proses integrasi dan interaksi antara manusia, syarikat-syarikat dan kerajaan pelbagai Negara. Berikutan itu, ia merupakan satu proses yang dipacu oleh perdagangan dan pelaburan antarabangsa yang disemarakkan oleh kepesatan teknologi.
 Ini bermakna globalisasi adalah satu proses untuk menjadikan dunia bergerak sebagai satu, meletakkan pelaburan dan perdagangan di bawah satu payung, menjadikan manusia bersatu atas etika menerima kepelbagaian (plurality) dan meraikan budaya serta agama tanpa konfrontasi dan kekerasan.  Dalam erti kata lain, globalisasi memerlukan sifat keterbukaan dalam meraikan keberagaman idea, budaya dan agama masyarakat dunia.
Inilah realiti globalisasi yang dipandu oleh sistem pasaran bebas atau kapitalisme. Keuntungan atau hasil menjadi tujuan utama globalisasi. Hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh masyarakat. Kita tidak mampu menipu diri sendiri kerana sudah terpampang di depan mata bagaimana sesetengah syarikat yang mengambil tanah orang awam dan bank yang mengenakan faedah yang tinggi kepada peminjam, demi keuntungan dan pembangunan. Hutan ditebang dan gunung ditarah demi kononnya sebuah kemajuan. Inilah realiti globalisasi hari ini.
Globalisasi merupakan proses normal yang dialami oleh setiap tamadun. Saya mengambil contoh tamadun Islam dahulu. Tamadun Islam yang terpecah amnya kepada zaman Umayyah, Abbasiah, Uthmaniyah turut mengalami proses globalisasi.
Persoalannya ialah bagaimana mereka menguruskan ekonomi melalui satu sistem yang satu, iaitu sistem ekonomi Islam? Mereka cuba menyatukan tanah jajahan mereka melalui hegemoni, sama ada melalui seni, reka bentuk dan budaya. Buktinya kita boleh melihat asimilisasi unsur keislaman di setiap tanah jajahan Islam. Istana Cordova di Sepanyol dan seni reka bentuk masjid dan istana di setiap jajahan Islam mempunyai unsur yang sama adalah bukti bahawa globalisasi pernah berlaku di tamadun-tamadun ini.



Kembali kepada realiti hari ini, globalisasi yang dipacu oleh kuasa-kuasa besar seperti Amerika contohnya, menganjurkan pelbagai projek perniagaan seperti The Trans-Pacific Partnership Agreement (TTPA) adalah satu proses globalisasi melalui bidang ekonomi.  Hal ini dapat dilihat melalui tindakan Amerika Syarikat yang cuba menyatukan negara-negara asia pasifik di bawah satu kerjasama perdagangan dan pelaburan yang bebas.
Ini bermakna pelabur-pelabur dari semua negara yang terlibat dengan perjanjian ini bebas untuk “berniaga”. Projek menjadikan perniagaan di bawah satu bumbung diketuai Amerika syarikat adalah projek ulung globalisasi pada hari ini.
Tidak lengkap jika membincangkan globalisasi tanpa membincangkan liberalisasi. Liberalisasi yang bermaksud bebas ini ialah bebas dari dogma agama dan budaya yang memisahkan masyarakat yg berlainan latar agama dan budaya. Kejayaan liberalisasi diperlukan untuk memudahkan masyarakat menerima globalisasi lantas menjadikan impian globalisasi ini tercapai dengan berjaya. Apabila masyarakat sudah liberal (baca bebas)  dan mampu meraikan perbezaan serta mampu menerima idea globalisasi ini memudahkan golongan pemodal melabur dan berniaga. Diingatkan kembali bahawa tujuan globalisasi yang dipimpin kapitalis pada hari ini adalah untuk keuntungan dan hasil.
Pelbagai projek integrasi budaya antara negara-negara  yang sedang dijalankan pada hari ini di universiti, sekolah dan sebagainya adalah bukti bahawa projek globalisasi dan liberalisasi sedang giat dijalankan. Pertukaran teknologi dan latihan ketenteraan bersama merupakan satu projek-projek kecil di bawah projek agung globalisasi yang dipimpin oleh tamadun kapitalis pada hari ini.
Pelbagai projek-projek kecil ini dilakukan demi menjaga kepentingan projek globalisasi pada hari ini. Kepelbagaian dalam kesatuan ini adalah kunci kepada kejayaan globalisasi. Walaupun hutan ditebang, loji nuklear yang memudaratkan dibina dan tanah dipaksa dirampas, kita akan dipaksa menerimanya dan tidak mampu melawan kerana globalisasi yang dipimpin oleh kapitalis ini berkiblatkan keuntungan.
Tidaklah saya mahu mengatakan bahawa globalisasi yang dipimpin oleh sistem kapitalis pada hari ini buruk semuanya. Masih ada perkara baik yang boleh dipuji. Contohnya dari segi kemajuan teknologi, pembangunan dan sebagainya adalah perkara yang kita boleh katakan sebagai nikmat hasil globalisasi.
Kita mampu memiliki teknologi internet, kemajuan seni bina dan kemudahan logistik adalah kerana globalisasi. Globalisasi ini adalah normal dan dilalui oleh semua tamadun yang pernah wujud di dalam dunia ini. Manusia berinteraksi dan berintegrasi demi perdagangan dan perniagaan, berkongsi teknologi dan bertukar tukar ilmu. Ini adalah natural dan sifat manusiawi yang hidup bermasyarakat. Menyokong globalisasi dn liberalisasi bukanlah satu dosa malah ia adalah satu proses kemajuan.
Tiada tamadun yang kekal selamanya. Masih adakah alternatif lain yang mampu menggantikan sistem yang ada pada hari ini? Bagaimanakah bentuk globalisasi pada masa hadapan? Masihkah materialistik dan keuntungan menjadi matlamat manusia? Adakah manusia akan bangun melawan globalisasi hari ini dengan menganjurkan satu sistem yang lebih baik menggantikan sistem kapitalis hari ini? Adakah sistem tidak ditukar tetapi sistem kapitalis ini digantikan dengan sistem yang lebih mengutamakan nilai manusiawi dan kebajikan berbanding keuntungan?


Kesimpulannya, globalisasi harus dijana dengan penuh tanggungjawab. Keuntungan bukanlah lesen untuk kita merosakkan alam dan menghalalkan penindasan. Tidak kira apa sistem sekalipun tanggungjawab perlu ada dan harus menghormati hak manusia dan alam. Jika system hari ini terus gagal bertanggungjawab, maka ianya perlu diganti dengan alternatif yang lain.