Thursday 11 October 2012

ISLAM MERAIKAN FESYEN DAN BUDAYA.


Faktor yang membawa islam terus berkembang ke seluruh daerah dan berkembang maju secara universal dan menyeluruh ke serata dunia dan mampu diterima semua kaum manusia adalah kerana islam tidak menghapuskan adat resam dan budaya sesuatu kaum manusia selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip prinsip islam atau menyebabkan orang lain salah faham terhadap islam.

Manusia yang mendiami bumi lahir dari pelbagai suku kaum,tinggal di daerah dan Negara yang berbeza beza,manusia berserakan di seluruh dunia dan di setiap daerah dan Negara itu terdapat budaya yang berbeza beza,manusia juga bertutur bahasa yang berbeza beza,rupa dan warna kulit juga berbeza beza namun di atas kesyumulan islam manusia yang berbeza beza ini disatukan di bawah satu kalimah tauhid dan di hati mereka adalah hati hati yang takut dan yakin secara total kepada Allah.

Islam tidak pernah menghalang manusia berbudaya,malah jauh sekali islam melarang umatnya berfesyen.Fesyen atau bahasa mudahnya cara berpakaian adalah lambing bangsa dan bukan pakaian agama.Melayu berbaju melayu bukan kerana itu pakaian islam,tetapi ia adalah pakaian bangsa.Jika bangsa cina terkenal dengan cheongsam,india dengan kurta dan saree manakala jubah yang manis itu sinonim dengan bangsa arab.Jadi pakaian adalah budaya bangsa dan bukan pakaian agama.
Di dalam islam terdapat disiplin yang perlu dipatuhi.Selagi disiplin ini dipatuhi tiada masalah di sisi islam.Antara disiplin yang perlu dipatuhi antaranya:


  1. menutup aurat secara total
  2. tidak tabarruj
  3. tidak jarang dan menampakkan kulit
  4. tidak ketat hingga menampakkan bentuk anggota badan yg aurat.



Cara berpakaian ini sebenarnya telah ditunjukkan nabi untuk membuktikan fleksibelnya islam.
Rasulullah juga bersifat fleksibel dalam soal fesyen pakaian selagi tidak melanggari batas syariah. Baginda menggalakkan warna putih, namun hadis-hadis menunjukkan baginda juga memakai warna lain. Baginda memakai berbagai-bagai pakaian dari berbagai-bagai negeri seperti Yemen, Najran, Mesir dan lain-lain. Bahkan dalam hadis dari al-Mughirah bin Su’bah, beliau berkata: Sesungguhnya Nabi s.a.w. memakai jubah Rom – dalam sebahagian hadis disebut jubah syamiah (negeri Syam) – yang sempit kedua tangan bajunya. (Riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tirmizi, al-Nasai dan lain-lain).

Padahal Rom ketika itu adalah tamadun besar Kristian bagaikan dunia Barat pada hari ini. Namun jubah Rom atau syamiah tiada kaitan dengan agama berkenaan, ia adalah pakaian bangsa. Lihat apa kata sarjana agung umat ini Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H): “Rasulullah s.a.w. itu pernah memakai gamis (baju labuh) dan serban, baginda pernah memakai kain sarung dan ridak (baju separuh yang dipakai bersama kain sarung), baginda pernah memakai jubah dan farajiah (baju besar dan panjang kedua tangannya).


“Baginda pernah memakai pakaian daripada jenis kapas, bulu dan selainnya. Baginda pernah memakai jubah bulu ketika bermusafir. Baginda juga memakai apa yang dibawa dari Yemen dan selainnya. Kebanyakannya dibuat daripada kapas. Mereka (pada zaman tersebut) juga memakai buatan Qibti Mesir yang ditenun daripada kapas. Maka, bererti sunah Rasulullah dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya. Maka perkara berbagai-bagai berdasarkan kepelbagaian negeri.” (Ibn Taimiyyah, Majmu‘ah al-Fatawa, 11/541, Riyadh: Maktab al-Abikan). Kata al-Imam Ibn Qayyim (meninggal 751H) pula: “Petunjuk Nabi dalam berpakaian itu adalah memakai apa yang paling bermanfaat (sesuai) untuk badan, paling ringan dan mudah dipakai dan ditanggalkan.” (Ibn Qaiyyim, Zad al-Ma‘ad, 4/237, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Jadi,di dalam islam tiada masalah untuk kita berpakaian atau berfesyen.Ini membuktikan islam itu fleksibel.jika ada fesyen atau pakaian yang mendedahkan aurat maka ini harus ditentang jika bertentangan dengan prinsip dan disiplin agama islam.

Budaya sesuatu masyarakat juga tiada masalah.Adat resam turun temurun juga diperbolehkan selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip islam.suka saya katakan sesuatu perkara yang tiada ketetapan nas adalah harus selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip islam.Adat dan budaya yang membawa kepada kesyirikan seperti tepung tawar serta tokok tambah di dalam agama haruslah ditinggalkan dan ditentang.

Hal ini jelas dalam hadis-hadis Nabi, antaranya: Daripada Anas bin Malik, apabila Nabi s.a.w. ingin menulis surat Rum. Lalu diberitahu kepadanya bahawa mereka itu tidak membaca surat yang tidak mempunyai cop. Lalu baginda membuat cop daripada perak. Kata Anas: seakan aku masih melihat kilauan cop berkenaan di tangan Nabi s.a.w. berukir Muhammad Rasulullah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini jelas menunjukkan baginda Nabi meraikan kebiasaan sesuatu kaum selagi tidak menyanggahi prinsip Islam. Baginda tidak berkeras menolak protokol itu atau tidak mempedulikannya.

Sedangkan jika Nabi tidak mengikut kebiasaan mereka lalu mereka menolak surat baginda, kerugian hanya balik kepada diri mereka semata. Kedudukan baginda sebagai nabi dan rasul jauh lebih tinggi daripada mereka semua. Namun, baginda bertolak ansur dalam hal yang seperti ini kerana islam itu sangat fleksibel.

Saya berasa pelik ada segelintir agamawan yang menolak serta melarang anak muda berseluar jeans dan ber t shirt hitam.Alasannya menyerupai yahudi.persoalannya adakah pakaian ibadat yahudi itu seluar jeans dan t shirt hitam?selagi disiplin dan prinsip islam tidak dilanggar maka ia dibolehkan.Melainkan di t shirt itu tertera kalimah yang mensyirikkan serta merosakkan islam maka ia perlu dihalang dan ditentang.Keluarlah kita dari kepompong yang menyempitkan islam ini dari segi berpakaian dan fesyen.

Rasulullah memakai apa yang senang dipakai dan beliau tidak menetapkan bagaimana jubahnya dijahit kerana baginda bukan tukang jahit.sekalipun jika beliau tidak diangkat menjadi rasul jubah itu masih pakaian rasmi masyarakat arab.lebih malang lagi saya melihat masyarakat terutamanya di pesantren menitik beratkan sunnah budaya arab ini lebih berat dari sunnah nabi terutama di dalam ibadat.Cara solat nabi,puasa nabi,haji nabi serta ibadat lain yang di ajar nabi.inilah sunnah yang utama diikuti,jauhilah bid`ah.

Justeru, sunah baginda yang mana tidak wujud jika tidak kerana baginda seorang rasul, diperintahkan untuk kita ikuti. Ini seperti cara solat, puasa, haji, prinsip ekonomi, pendidikan, perundangan dan seumpamanya. Bahkan diharamkan kita menokok tambah atau mereka cipta apa yang baginda yang tidak tunjuk dalam soal ibadah kerana itu seperti mencabar kerasulan baginda. Maka perkara ibadah khusus seperti wuduk, solat, puasa, haji hanya diambil daripada baginda, tokok tambah atau seni rekaan selain baginda tidak diiktiraf.

Jika sesuatu budaya atau fesyen itu bertentangan dengan budaya islam maka tinggalkanlah.Selagi budaya dan fesyen itu tidak bertentangan dengan islam maka ia harus di amalkan.jangan kerana budaya dan fesyen kita yang terlalu sempit mengundang salah faham dan persepsi buruk masyarakat dunia kepada islam.


2 comments: