Saturday 15 November 2014

Globalisasi Proses Normal Setiap Tamadun

Heboh di merata tempat, kedai kopi, sekolah, kolej dan universiti, masyarakat membincangkan mengenai masalah sosial, politik dan ekonomi.  Seringkali dilaungkan tentang globalisasi, sama ada keluar daripada mulut atau dterjemahkan dalam penulisan.
Di kalangan professional, ahli perniagaan, dan pembuat dasar, globalisasi seolah-olah menjadi satu perkataan yang tidak asing, malah inilah yang menjadi topik utama, sama ada memilih menjadi sebahagian dari globalisasi.  Persoalannya, adakah menyertai sebagai peserta atau mangsa?
Secara umumnya, globalisasi merupakan proses yang membolehkan sesuatu aktiviti (ekonomi, kebudayaan dsb) diperluas ke peringkat antarabangsa. Perkembangan sistem komunikasi, dasar terbuka dsb: dalam era ~ sekarang ini, kita terdedah kepada pengaruh budaya luar.
Faktor utama ialah, perkembangan pesat pasaran kewangan dunia secara tidak langsung membuka ruang untuk sesuatu aktiviti (ekonomi, kebudayaan dsb) ke peringkat global.  Selain itu, ia juga bermatlamat untuk memajukan perniagaan ke tahap antarabangsa dan silang budaya antara masyarakat dunia.              
Globalisasi juga merupakan proses integrasi dan interaksi antara manusia, syarikat-syarikat dan kerajaan pelbagai Negara. Berikutan itu, ia merupakan satu proses yang dipacu oleh perdagangan dan pelaburan antarabangsa yang disemarakkan oleh kepesatan teknologi.
 Ini bermakna globalisasi adalah satu proses untuk menjadikan dunia bergerak sebagai satu, meletakkan pelaburan dan perdagangan di bawah satu payung, menjadikan manusia bersatu atas etika menerima kepelbagaian (plurality) dan meraikan budaya serta agama tanpa konfrontasi dan kekerasan.  Dalam erti kata lain, globalisasi memerlukan sifat keterbukaan dalam meraikan keberagaman idea, budaya dan agama masyarakat dunia.
Inilah realiti globalisasi yang dipandu oleh sistem pasaran bebas atau kapitalisme. Keuntungan atau hasil menjadi tujuan utama globalisasi. Hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh masyarakat. Kita tidak mampu menipu diri sendiri kerana sudah terpampang di depan mata bagaimana sesetengah syarikat yang mengambil tanah orang awam dan bank yang mengenakan faedah yang tinggi kepada peminjam, demi keuntungan dan pembangunan. Hutan ditebang dan gunung ditarah demi kononnya sebuah kemajuan. Inilah realiti globalisasi hari ini.
Globalisasi merupakan proses normal yang dialami oleh setiap tamadun. Saya mengambil contoh tamadun Islam dahulu. Tamadun Islam yang terpecah amnya kepada zaman Umayyah, Abbasiah, Uthmaniyah turut mengalami proses globalisasi.
Persoalannya ialah bagaimana mereka menguruskan ekonomi melalui satu sistem yang satu, iaitu sistem ekonomi Islam? Mereka cuba menyatukan tanah jajahan mereka melalui hegemoni, sama ada melalui seni, reka bentuk dan budaya. Buktinya kita boleh melihat asimilisasi unsur keislaman di setiap tanah jajahan Islam. Istana Cordova di Sepanyol dan seni reka bentuk masjid dan istana di setiap jajahan Islam mempunyai unsur yang sama adalah bukti bahawa globalisasi pernah berlaku di tamadun-tamadun ini.



Kembali kepada realiti hari ini, globalisasi yang dipacu oleh kuasa-kuasa besar seperti Amerika contohnya, menganjurkan pelbagai projek perniagaan seperti The Trans-Pacific Partnership Agreement (TTPA) adalah satu proses globalisasi melalui bidang ekonomi.  Hal ini dapat dilihat melalui tindakan Amerika Syarikat yang cuba menyatukan negara-negara asia pasifik di bawah satu kerjasama perdagangan dan pelaburan yang bebas.
Ini bermakna pelabur-pelabur dari semua negara yang terlibat dengan perjanjian ini bebas untuk “berniaga”. Projek menjadikan perniagaan di bawah satu bumbung diketuai Amerika syarikat adalah projek ulung globalisasi pada hari ini.
Tidak lengkap jika membincangkan globalisasi tanpa membincangkan liberalisasi. Liberalisasi yang bermaksud bebas ini ialah bebas dari dogma agama dan budaya yang memisahkan masyarakat yg berlainan latar agama dan budaya. Kejayaan liberalisasi diperlukan untuk memudahkan masyarakat menerima globalisasi lantas menjadikan impian globalisasi ini tercapai dengan berjaya. Apabila masyarakat sudah liberal (baca bebas)  dan mampu meraikan perbezaan serta mampu menerima idea globalisasi ini memudahkan golongan pemodal melabur dan berniaga. Diingatkan kembali bahawa tujuan globalisasi yang dipimpin kapitalis pada hari ini adalah untuk keuntungan dan hasil.
Pelbagai projek integrasi budaya antara negara-negara  yang sedang dijalankan pada hari ini di universiti, sekolah dan sebagainya adalah bukti bahawa projek globalisasi dan liberalisasi sedang giat dijalankan. Pertukaran teknologi dan latihan ketenteraan bersama merupakan satu projek-projek kecil di bawah projek agung globalisasi yang dipimpin oleh tamadun kapitalis pada hari ini.
Pelbagai projek-projek kecil ini dilakukan demi menjaga kepentingan projek globalisasi pada hari ini. Kepelbagaian dalam kesatuan ini adalah kunci kepada kejayaan globalisasi. Walaupun hutan ditebang, loji nuklear yang memudaratkan dibina dan tanah dipaksa dirampas, kita akan dipaksa menerimanya dan tidak mampu melawan kerana globalisasi yang dipimpin oleh kapitalis ini berkiblatkan keuntungan.
Tidaklah saya mahu mengatakan bahawa globalisasi yang dipimpin oleh sistem kapitalis pada hari ini buruk semuanya. Masih ada perkara baik yang boleh dipuji. Contohnya dari segi kemajuan teknologi, pembangunan dan sebagainya adalah perkara yang kita boleh katakan sebagai nikmat hasil globalisasi.
Kita mampu memiliki teknologi internet, kemajuan seni bina dan kemudahan logistik adalah kerana globalisasi. Globalisasi ini adalah normal dan dilalui oleh semua tamadun yang pernah wujud di dalam dunia ini. Manusia berinteraksi dan berintegrasi demi perdagangan dan perniagaan, berkongsi teknologi dan bertukar tukar ilmu. Ini adalah natural dan sifat manusiawi yang hidup bermasyarakat. Menyokong globalisasi dn liberalisasi bukanlah satu dosa malah ia adalah satu proses kemajuan.
Tiada tamadun yang kekal selamanya. Masih adakah alternatif lain yang mampu menggantikan sistem yang ada pada hari ini? Bagaimanakah bentuk globalisasi pada masa hadapan? Masihkah materialistik dan keuntungan menjadi matlamat manusia? Adakah manusia akan bangun melawan globalisasi hari ini dengan menganjurkan satu sistem yang lebih baik menggantikan sistem kapitalis hari ini? Adakah sistem tidak ditukar tetapi sistem kapitalis ini digantikan dengan sistem yang lebih mengutamakan nilai manusiawi dan kebajikan berbanding keuntungan?


Kesimpulannya, globalisasi harus dijana dengan penuh tanggungjawab. Keuntungan bukanlah lesen untuk kita merosakkan alam dan menghalalkan penindasan. Tidak kira apa sistem sekalipun tanggungjawab perlu ada dan harus menghormati hak manusia dan alam. Jika system hari ini terus gagal bertanggungjawab, maka ianya perlu diganti dengan alternatif yang lain.


No comments:

Post a Comment