Thursday 17 September 2015

Himpunan Baju Merah :Tukang masak nyanyuk

Semalam tanggal 16 september merupakan Hari Malaysia. Tarikh ini merupakan saat besar buat keluarga Malaysia bertambah besar dengan penyertaan Borneo dan Singapura ke dalam keluarga Malaysia. Kepelbagaian budaya dan rencam menambahkan sedapnya rasa masakan sebuah keluarga yang bernama Malaysia.

Seorang tukang masak yang memasak selama lebih 50 tahun sudah pasti menjadikannya seorang tukang masak yang arif dalam kepelbagaian rasa. Sentuhannya dalam mengadunkan bahan sudah pasti menjadikan masakan itu cukup rasa, enak dimakan malah persembahan hidangannya sepatutnya menggiurkan mampu menaikkan nafsu orang yang memandangnya.

Tetapi itu yang sebaliknya berlaku kepada tukang masak keluarga Malaysia. Masakannya semakin tidak sedap dan sihat. Persembahannya menjadi jelik sehingga anjing kelaparan pun ragu untuk menjamahnya. Perencah perkauman yang sepatutnya tidak digunakan telah dimasukkan dalam kuantiti yang melampau. Akhirnya menjadikan masakan itu tidak menggambarkan kehebatan tukang masak yang kononnya berpengalaman.

Adakah kerana tukang masak itu sudah lupa bahawa keluarga besar Malaysia ini tidak suka perencah perkauman. Sama seperti orang yang cakna tentang kesihatan akan menjauhkan makanannya dari disentuh MSG seperti ajinomoto. Penyakit yang diakibatkan rencah perkauman ini sama bahayanya dengan ajinomoto. Makan dalam dan kesannya sangat bahaya dalam jangka masa yang panjang.

Tetapi keluarga besar Malaysia ini mempunyai ahli keluarga yang tidak berapa cerdik iaitu ahli keluarga yang gemar berbaju merah. Ahli keluarga yang ini dilayan seperti anak manja. Makanannya sentiasa berbeza dengan ahli keluarga yang lain. Mulutnya ternganga minta disuap. Kerana terlalu manja, mereka kehilangan daya berfikir. Perutnya yang lapar ini disuap dengan makan yang penuh rencah perkauman, kadangkala sengaja diletakkan berlebihan oleh tukang masak yang nyanyuk ini.

Disuap setiap hari dengan makanan yang tidak berkhasiat menyebabkan ahli keluarga berbaju merah ini dihinggapi penyakit. Penyakit yang disebabkan rencah perkauman ini sangat susah diubati. Seperti barah yang berakar di dalam tubuh penyakit ini telah membuatkan mereka sakit tenat. Tidak hanya menjejaskan fizikal malah ia telah menjejaskan psikologi.

Mereka memarahi ahli keluarga Malaysia yang lain kerana disebabkan mereka makan makanan yang lain. Jelas perencah perkauman tidak hanya menjadikan mereka sakit tetapi telah menjadikan mereka bodoh sehingga tidak mampu berfikir secara waras. Sedangkan ini angkara tukang masak yang pilih kasih dan menyuap mereka hari hari dengan perencah perkauman.

Mujurlah ahli keluarga yang lain ini berjiwa besar dan sedar bahawa ahli keluarga mereka yang berbaju merah ini sedang sakit. Mereka memerlukan sokongan dan perhatian dari ahli keluarga yang lain. Bertolak ansur dan bertoleransi adalah perkara yang terbaik yang boleh dilakukan untuk membantu ahli keluarga baju merah yang sakit ini.

Doktor-doktor yang berpengetahuan luas perlu memainkan peranan penting bagi mengubati penyakit ini. Tidak cukup dengan mengubati, doktor juga perlu mengeluarkan langkah langkah pencegahan dan menyuntik imunisasi bagi menghalang penyakit perkauman ini menjangkiti ahli keluarga Malaysia. Mencegah itu lebih baik dari mengubati.

Tidak dapat tidak, perkara yang perlu dilakukan ialah menukar tukang masak yang nyanyuk ini. digantikan dengan tukang masak yang baru. Pengalaman sahaja tidak mencukupi jika tiada etika dalam memasak dan pengetahuan yang luas tentang makanan yang berkhasiat. Tidak pilih kasih dan mengisi perut ahli keluarga besar Malaysia dengan makanan yang sama, yakni makanan yang sihat dan berkhasiat agar ahli keluarga Malaysia membesar dan hidup dengan sihat dan kuat.

No comments:

Post a Comment