Wednesday 26 November 2014

Liberalisme Mengubah Kampung Menjadi Bandar

Liberal atau bebas sedang melanda ke kampung kampung. Jangan tidak tahu bahawa liberalisme yang sedang masuk ke kampung kampung ini adalah hasil kerja kerajaan Malaysia yang sedang giat menyebarkan faham liberalisme.

Orang kampung diseru supaya celik IT, disuruh pergi ke sekolah, disuruh membaca dan disuruh supaya memajukan diri. Ini adalah bentuk liberalisme yang sedang diterapkan kepada orang kampung.

Liberal ini bermaksud bebas. Bebas itu bererti mempunyai ruang untuk menyebarkan ekspresi, fahaman, ideologi dan informasi. Bebas juga bererti bebas untuk berpersatuan, berparti (parti politik), berdiskusi, berdebat, dan berdemonstrasi.

Sedar tidak sedar dari paderi sehinggalah kepada petani di kampung, semuanya menganut faham liberalisme. Semua orang di negara Malaysia ini sedang mengamalkan faham liberalisme. Buktinya mereka menyertai pilihanraya, mereka percaya kepada kebebasan bersuara, percaya kepada bahawa ada ruang di negara ini untuk mereka menyampaikan idea, pendapat dan bantahan.

Walaupun ada di kalangan rakyat Malaysia  yang menolak fahaman liberal tetapi mereka menyertai pilihanraya, mereka menubuhkan parti. Agak sangsi dengan mereka yang keliru ini. Mungkin sistem demokrasi berparlimen berasaskan perlembagaan ini tidak di fahami dengan baik oleh golongan ini.

Fahaman liberal inilah yang membuka ruang demokrasi, ruang untuk bersuara, ruang untuk berpersatuan, ruang untuk menyampaikan kritik.Tetapi fahaman ini ditolak oleh segolongan rakyat Malaysia atas alasan bertentangan dengan agama.

Saya berfikir, jika fahaman liberal ini tidak wujud, di UK, Russia, Jerman, Amerika, dan negara negara barat yang lain, sudah pasti umat Islam akan dihalau keluar dari negara terbabit dan dihalang untuk mengamalkan agama Islam.

Saya juga berpendapat jika agama Islam  tidak mendokong liberal/kebebasan dan menjamin hak untuk beragama, bagaimana dahulu di Jerusalem Islam mampu untuk mentadbir dengan majoriti penduduk di sana beragama yahudi dan nasrani?

Saya keliru dan sangsi dengan segolongan orang yang menetang faham liberalisme di malaysia ini. Liberalisme ini adalah satu faham yang menjamin kebebasan untuk berfikir. Orang yang anti liberalisme ini adalah orang yang malas berfikir dan hanya mahu disuap.

Orang yang anti liberalisme atau konservatif ini juga anti kemajuan dan ketinggalan zaman. Saya berfikir apakah yang akan terjadi jika fahaman liberalisme ini tidak ada? maka dunia tidak akan maju, pentadbiran akan dikuasai oleh orang agama yang menggunakan agama sebagai benteng. Ilmu sains diharamkan dan kemajuan tidak akan bergolek dari langit.

Saya juga berfikir apa sumbangan yang menjadikan orang anti liberalisme ini hebat? Laman blog untuk saya berceloteh ini dicipta oleh seorang yang liberal, komputer dicipta oleh seorang ateis, facebook dicipta oleh seorang ateis yang liberal, dan lebih kelakar orang yang menentang liberal ini menggunakan medium liberal ini untuk menyampaikan dakyah anti-liberal.

Tanpa menyedari mereka juga sedang mengamalkan liberalisme. Mereka mengatakan ini adalah hak kami untuk bersuara dan menyampaikan kebenaran.Mereka menyebarkan idea mereka, kritikan dan pandangan.Semua hak ini tidak akan ada jika manusia tidak liberal.. Adakah ini lesen untuk menafikan hak orang lain?

Saya juga berfikir adakah sangat melampau golongan yang dikatakan liberal di malaysia ini? adakah mereka menuntut supaya agama diharamkan di malaysia? Adakah mereka menuntut supaya wanita tidak dibenarkan berhijab? adakah mereka menuntut supaya semua gereja dan masjid diruntuhkan dan digantikan dengan kelab gay dan lesbian?

Pendirian saya tetap. liberalisme ini hanyalah bahasa. Ia bererti kebebasan dan ruang untuk kita berwacana dan merencana dengan apa yang kita percaya. Saya juga menanti bahawa liberalisme ini akan diterjemahkan ke dalam bahasa arab agar ianya mudah difahami oleh segelintir masyarakat di Malaysia.



1 comment:

  1. Mungkin yang mereka mahu tentang itu ialah Islam Liberal...

    ReplyDelete