Friday 3 July 2015

Nilai-nilai yang telah hilang.

"Salmah, kau dah bagitau pada Mak Jah yang esok kita nak pinjam pinggan mangkuk dia untuk kenduri arwah ayah kau esok? Dah 3 tahun ayah kau tinggalkan kita, mujur masih ada jiran-jiran dan saudara mara membantu kita. Tidaklah terasa terkilan dan kempunan.

Kau jangan lupa kelas mengaji Al Quran dengan tok Imam, mak dah bagitahu kat dia yg kau dh cukup umur kena wajib belajar mengaji. Tok Imam tak minta duit, cuma dia minta kau dtg bawa Quran sendiri.

Tak lama lagi dah nak raya, biasanya tok amil datang dah nak kutip zakat, mungkin tak sihat agaknya. Eloklah kalau kita sendiri yg ke rumah tok amil untuk bayar zakat."


Ini bebelan yang mungkin dibebelkan seorang janda kepada anak daranya. cerita ini semakin asing di telinga, lantaran kemajuan teknologi dan globalisasi yg sedikit sebanyak mengubah cara berfikir dan budaya kita sendiri.

Masyarakat kampung hidup kesatuan yang padu. Membina sebuah kampung seperti membina sebuah keluarga. Memerlukan kerjasama, perpaduan dan sikap tidak mementingkan diri sendiri. Nilai ini semakin hari, semakin hilang kerana "kesusahan" membina sebuah kampung itu sudah lagi tidak dirasakan.

Di kampung apabila adanya kenduri maka berduyun-duyun orang kampung membawa pisau, batu asah dan periuk kawah untuk bergotong royong. Orang kampung miskin, maka berkongsi itu lebih baik. Masa itu, tiada internet, semua berbual dan berinteraksi menggunkan mulut. Orang Kampung mempunyai falsafah hidupnya sendiri. "Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat".

Di awal pembinaan kampung, rumah-rumah didirikan secara gotong royong. Tiada syarikat hartanah dan tiada pemaju perumahan Walaupun biliknya satu, tandasnya di luar , namun di kampung tiada masalah air. Orang kampung mampu hidup sebegitu kerana "kesusahan" yg dialami membuatkan mereka berasa senang di atas semua perkara.

Nilai ini telah hilang ditelan masa. Dahulunya amil pergi rumah ke rumah untuk mengutip zakat, kini amil duduk di dalam bilik berhawa dingin dan kaunter-kaunter. Maka ada jurang yang jauh antara amil dan pembayar zakat. Seolah-olah amil itu pengutip cukai dan pemohon zakat seperti peminta sedekah. Hal ini berlaku kerana nilai kasih sayang itu telah dipadam oleh sistem formaliti yang menjadikan zakat itu hilang rohnya.

Zakat yang merupakan tanda solidariti dan kesanggupan untuk berkongsi sama rata kesenangan yang ada. Namun kini telah menjadi pertandingan mengumpul kutipan zakat paling banyak dan pertandingan siapa paling bayak bayar zakat. Masyarakat kampung dulu hidup dalam kesamarataan kelas dan bahu membahu. Kini masyarakat hidup dalam persaingan dan yang kaya semakin kaya manakala miskin semakin miskin.

Timbang rasa dan bertolak ansur dalam semua perkara. Sesuatu perkara akan dibincangkan dan diputuskan dengan mengambil kira pendapat semua ahli penduduk kampung. Inilah yang dilakukan oleh orang kampung yang kadangnya tidak reti membaca dan mengira! kini, lihatlah pemimpin kita, mempunyai mulut tetapi tiada telinga! Lihatlah melayu berebut tapak bazar, seperti kera berebut pisang sebiji.

"Kesusahanan" itu tidak dikongsi oleh semua orang seperti masyarakat di kampung. Kini kesusahan itu adalah milik privasi dan masyarakat mudah lupa. Masyarakat melayu dulu tinggal di setinggan sehinggalah kerajaan merobohkan setinggan dan membina perumahan rakyat seperti Flat. Kesusahan yang lama dilupakan setelah mendapat kesenangan.

Akhirnya kini masyarakat yang sudah melupakan kesusahan mereka di atas kesenangan telah ditindas dan di bodoh- bodohkan oleh pemimpin mereka. kasihan!

Pendidikan yang berkualiti itu bukanlah bermakna semua orang berjaya di dalam perperiksaan. Pendidikan yang berkualiti itu apabila kita mampu memahamkan manusia lain bahawa hidup ini banyak perkara yang tidak boleh dilakukan sendirian. Manusia memerlukan kerjasama dan bantuan orang lain. Jika pendidikan kita hanya melahirkan individu yang mementingkan diri sendiri, maka ketahuilah kita telah gagal.

Jujur dan peka dengan apa yang berlaku. Orang kampung yang miskin dan hina itu sentiasa peka. Jika ada jiran yang sakit maka tidak putus-putus lawatan dari jiran sekampung. Jika ada yang mengalami masalah maka berduyunlah yg datang membantu sekadar kemampuan.

Kejujuran orang kampung dalam berniaga adalah sesuatu yang harus dicontohi. Nilai dan budaya masyarakat sendiri kita tidak mahu ikut dan kita memilih untuk melakukan sebaliknya. Tidak hairanlah ramai anak Malaysia yang terpengaruh dengan MLM yang nyata merugikan dan membodohkan.

Nilai-nilai yang hilang ini tidak mampu di cari walaupun anda telah membaca buku "Permata Yang Hilang" berulang kali.




No comments:

Post a Comment