Wednesday 26 November 2014

Liberalisme Mengubah Kampung Menjadi Bandar

Liberal atau bebas sedang melanda ke kampung kampung. Jangan tidak tahu bahawa liberalisme yang sedang masuk ke kampung kampung ini adalah hasil kerja kerajaan Malaysia yang sedang giat menyebarkan faham liberalisme.

Orang kampung diseru supaya celik IT, disuruh pergi ke sekolah, disuruh membaca dan disuruh supaya memajukan diri. Ini adalah bentuk liberalisme yang sedang diterapkan kepada orang kampung.

Liberal ini bermaksud bebas. Bebas itu bererti mempunyai ruang untuk menyebarkan ekspresi, fahaman, ideologi dan informasi. Bebas juga bererti bebas untuk berpersatuan, berparti (parti politik), berdiskusi, berdebat, dan berdemonstrasi.

Sedar tidak sedar dari paderi sehinggalah kepada petani di kampung, semuanya menganut faham liberalisme. Semua orang di negara Malaysia ini sedang mengamalkan faham liberalisme. Buktinya mereka menyertai pilihanraya, mereka percaya kepada kebebasan bersuara, percaya kepada bahawa ada ruang di negara ini untuk mereka menyampaikan idea, pendapat dan bantahan.

Walaupun ada di kalangan rakyat Malaysia  yang menolak fahaman liberal tetapi mereka menyertai pilihanraya, mereka menubuhkan parti. Agak sangsi dengan mereka yang keliru ini. Mungkin sistem demokrasi berparlimen berasaskan perlembagaan ini tidak di fahami dengan baik oleh golongan ini.

Fahaman liberal inilah yang membuka ruang demokrasi, ruang untuk bersuara, ruang untuk berpersatuan, ruang untuk menyampaikan kritik.Tetapi fahaman ini ditolak oleh segolongan rakyat Malaysia atas alasan bertentangan dengan agama.

Saya berfikir, jika fahaman liberal ini tidak wujud, di UK, Russia, Jerman, Amerika, dan negara negara barat yang lain, sudah pasti umat Islam akan dihalau keluar dari negara terbabit dan dihalang untuk mengamalkan agama Islam.

Saya juga berpendapat jika agama Islam  tidak mendokong liberal/kebebasan dan menjamin hak untuk beragama, bagaimana dahulu di Jerusalem Islam mampu untuk mentadbir dengan majoriti penduduk di sana beragama yahudi dan nasrani?

Saya keliru dan sangsi dengan segolongan orang yang menetang faham liberalisme di malaysia ini. Liberalisme ini adalah satu faham yang menjamin kebebasan untuk berfikir. Orang yang anti liberalisme ini adalah orang yang malas berfikir dan hanya mahu disuap.

Orang yang anti liberalisme atau konservatif ini juga anti kemajuan dan ketinggalan zaman. Saya berfikir apakah yang akan terjadi jika fahaman liberalisme ini tidak ada? maka dunia tidak akan maju, pentadbiran akan dikuasai oleh orang agama yang menggunakan agama sebagai benteng. Ilmu sains diharamkan dan kemajuan tidak akan bergolek dari langit.

Saya juga berfikir apa sumbangan yang menjadikan orang anti liberalisme ini hebat? Laman blog untuk saya berceloteh ini dicipta oleh seorang yang liberal, komputer dicipta oleh seorang ateis, facebook dicipta oleh seorang ateis yang liberal, dan lebih kelakar orang yang menentang liberal ini menggunakan medium liberal ini untuk menyampaikan dakyah anti-liberal.

Tanpa menyedari mereka juga sedang mengamalkan liberalisme. Mereka mengatakan ini adalah hak kami untuk bersuara dan menyampaikan kebenaran.Mereka menyebarkan idea mereka, kritikan dan pandangan.Semua hak ini tidak akan ada jika manusia tidak liberal.. Adakah ini lesen untuk menafikan hak orang lain?

Saya juga berfikir adakah sangat melampau golongan yang dikatakan liberal di malaysia ini? adakah mereka menuntut supaya agama diharamkan di malaysia? Adakah mereka menuntut supaya wanita tidak dibenarkan berhijab? adakah mereka menuntut supaya semua gereja dan masjid diruntuhkan dan digantikan dengan kelab gay dan lesbian?

Pendirian saya tetap. liberalisme ini hanyalah bahasa. Ia bererti kebebasan dan ruang untuk kita berwacana dan merencana dengan apa yang kita percaya. Saya juga menanti bahawa liberalisme ini akan diterjemahkan ke dalam bahasa arab agar ianya mudah difahami oleh segelintir masyarakat di Malaysia.



Monday 17 November 2014

Restoring the traditional order. (bahagian 1)

Restoring the traditional order (mengembalikan pemerintahan tradisional berhaluan kanan dan fasis)
Esei oleh : Noam Chomsky 


Perancang pasca perang seperti Kennan (George Kennan merupakan ketua bahagian pembangunan negara AS sehingga tahun 1950) mengerti bahawa adalah amat penting kepada  korporat Amerika@US berwaspada jika masyarakat industri barat cuba bangun semula selepas menghadapi kemusnahan dan kerosakan akibat perang supaya mereka (industri barat) mengimport barangan US dan US harus bersedia menyediakan peluang pelaburan.

Tetapi amat  penting untuk masyarakat industri ini bangun semula mengikut acuan US.

Pemerintahan bercorak tradisional dan haluan kanan harus dikembalikan. Dengan dominasi perniagaan, buruh dipisahkan (tanpa kesatuan) dan dilemahkan, dan beban pembinaan semula sektor industri diletakkan di atas bahu kaum pekerja dan orang miskin.

Perkara besar yang menghalang kepada proses pengembalian order haluan kanan ini adalah gerakan antifasis dan golongan kiri di seluruh dunia. 


Jadi US meletakkan golongan kolaborasi antara fasis dan nazi di dalam pemerintahan acuan mereka.Kadangkala ia memerlukan paksaan dan keganasan, kadangkala ianya dilakukan dengan cara yang lembut seperti penipuan pilihanraya dan sekatan ekonomi.



Cara ini telah dilakukan pada tahun 1942 apabila Presiden Roosevelt melantik Admiral Perancis, Jean Darlan sebagai Gabenor-General kepada semua jajahan Perancis, Afrika Utara.Darlan merupakan ketua kolaborator Nazi dan penulis undang undang anti semitik yang dijadikan sebagai undang undang oleh kerajaan Vichy (boneka rejim nazi di Perancis).

Tetapi jauh lebih penting dalam usaha ini ialah kawasan pertama di eropah yang merdeka iaitu selatan Itali. US@Amerika Syarikat mengikut nasihat Churchill (perdana menteri Britain ketika itu) melantik hero perang yang fasis iaitu Field Marshall Bagdolio dan King Victor Emmanuel III untuk mengetuai kerajaan haluan kanan yang diktator di situ.


Perancang Perancang ekonomi US mengerti bahawa “ancaman” di eropah bukan sahaja Soviet malah juga gerakan antifasis yang membawa idea demokrasi yang radikal dan juga kemunculan parti parti komunis tempatan. 

Untuk menghalang kemelesetan ekonomi yang akan menganggu gugat pengaruh mereka dan bagi membina semula ekonomi kapitalis di barat, US telah telah merancang satu rancangan iaitu Marshall Plan (eropah telah diberikan dana lebih dari $12 billion dalam bentuk pinjaman dan geran antara tahun 1948 dan 1951, dana ini kemudiannya digunakan untuk membeli eksport US ke eropah yang kemuncaknya pada 1949). 



Di Itali, gerakan kaum pekerja dan proletar yang diketuai Parti Komunis Berjaya mengalahkan 6 divisyen tentera jerman semasa perperangan dan Berjaya memerdekakan utara Itali. 


Selepas US membawa tenteranya masuk ke Itali, mereka menghancurkan gerakan antifasis ini dan mngembalikan struktur pemerintahan haluan kanan yang fasis.

Itali merupakan salah satu kawasan utama yang diawasi oleh CIA semenjak agensi ini ditubuhkan. Kerisauan CIA  bertambah apabila Parti Komunis Berjaya memenangi kuasa secara sah di dalam pilihanraya Itali 1948. 


Pelbagai cara dan teknik dilakukan termasuklah membentuk pasukan polis yang fasis, menghancurkan kesatuan buruh dan mencatu makanan.Walaupun pelbagai cara dilakukan tetapi belum jelas Parti Komunis Berjaya dikalahkan…..bersambung





Saturday 15 November 2014

Globalisasi Proses Normal Setiap Tamadun

Heboh di merata tempat, kedai kopi, sekolah, kolej dan universiti, masyarakat membincangkan mengenai masalah sosial, politik dan ekonomi.  Seringkali dilaungkan tentang globalisasi, sama ada keluar daripada mulut atau dterjemahkan dalam penulisan.
Di kalangan professional, ahli perniagaan, dan pembuat dasar, globalisasi seolah-olah menjadi satu perkataan yang tidak asing, malah inilah yang menjadi topik utama, sama ada memilih menjadi sebahagian dari globalisasi.  Persoalannya, adakah menyertai sebagai peserta atau mangsa?
Secara umumnya, globalisasi merupakan proses yang membolehkan sesuatu aktiviti (ekonomi, kebudayaan dsb) diperluas ke peringkat antarabangsa. Perkembangan sistem komunikasi, dasar terbuka dsb: dalam era ~ sekarang ini, kita terdedah kepada pengaruh budaya luar.
Faktor utama ialah, perkembangan pesat pasaran kewangan dunia secara tidak langsung membuka ruang untuk sesuatu aktiviti (ekonomi, kebudayaan dsb) ke peringkat global.  Selain itu, ia juga bermatlamat untuk memajukan perniagaan ke tahap antarabangsa dan silang budaya antara masyarakat dunia.              
Globalisasi juga merupakan proses integrasi dan interaksi antara manusia, syarikat-syarikat dan kerajaan pelbagai Negara. Berikutan itu, ia merupakan satu proses yang dipacu oleh perdagangan dan pelaburan antarabangsa yang disemarakkan oleh kepesatan teknologi.
 Ini bermakna globalisasi adalah satu proses untuk menjadikan dunia bergerak sebagai satu, meletakkan pelaburan dan perdagangan di bawah satu payung, menjadikan manusia bersatu atas etika menerima kepelbagaian (plurality) dan meraikan budaya serta agama tanpa konfrontasi dan kekerasan.  Dalam erti kata lain, globalisasi memerlukan sifat keterbukaan dalam meraikan keberagaman idea, budaya dan agama masyarakat dunia.
Inilah realiti globalisasi yang dipandu oleh sistem pasaran bebas atau kapitalisme. Keuntungan atau hasil menjadi tujuan utama globalisasi. Hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh masyarakat. Kita tidak mampu menipu diri sendiri kerana sudah terpampang di depan mata bagaimana sesetengah syarikat yang mengambil tanah orang awam dan bank yang mengenakan faedah yang tinggi kepada peminjam, demi keuntungan dan pembangunan. Hutan ditebang dan gunung ditarah demi kononnya sebuah kemajuan. Inilah realiti globalisasi hari ini.
Globalisasi merupakan proses normal yang dialami oleh setiap tamadun. Saya mengambil contoh tamadun Islam dahulu. Tamadun Islam yang terpecah amnya kepada zaman Umayyah, Abbasiah, Uthmaniyah turut mengalami proses globalisasi.
Persoalannya ialah bagaimana mereka menguruskan ekonomi melalui satu sistem yang satu, iaitu sistem ekonomi Islam? Mereka cuba menyatukan tanah jajahan mereka melalui hegemoni, sama ada melalui seni, reka bentuk dan budaya. Buktinya kita boleh melihat asimilisasi unsur keislaman di setiap tanah jajahan Islam. Istana Cordova di Sepanyol dan seni reka bentuk masjid dan istana di setiap jajahan Islam mempunyai unsur yang sama adalah bukti bahawa globalisasi pernah berlaku di tamadun-tamadun ini.



Kembali kepada realiti hari ini, globalisasi yang dipacu oleh kuasa-kuasa besar seperti Amerika contohnya, menganjurkan pelbagai projek perniagaan seperti The Trans-Pacific Partnership Agreement (TTPA) adalah satu proses globalisasi melalui bidang ekonomi.  Hal ini dapat dilihat melalui tindakan Amerika Syarikat yang cuba menyatukan negara-negara asia pasifik di bawah satu kerjasama perdagangan dan pelaburan yang bebas.
Ini bermakna pelabur-pelabur dari semua negara yang terlibat dengan perjanjian ini bebas untuk “berniaga”. Projek menjadikan perniagaan di bawah satu bumbung diketuai Amerika syarikat adalah projek ulung globalisasi pada hari ini.
Tidak lengkap jika membincangkan globalisasi tanpa membincangkan liberalisasi. Liberalisasi yang bermaksud bebas ini ialah bebas dari dogma agama dan budaya yang memisahkan masyarakat yg berlainan latar agama dan budaya. Kejayaan liberalisasi diperlukan untuk memudahkan masyarakat menerima globalisasi lantas menjadikan impian globalisasi ini tercapai dengan berjaya. Apabila masyarakat sudah liberal (baca bebas)  dan mampu meraikan perbezaan serta mampu menerima idea globalisasi ini memudahkan golongan pemodal melabur dan berniaga. Diingatkan kembali bahawa tujuan globalisasi yang dipimpin kapitalis pada hari ini adalah untuk keuntungan dan hasil.
Pelbagai projek integrasi budaya antara negara-negara  yang sedang dijalankan pada hari ini di universiti, sekolah dan sebagainya adalah bukti bahawa projek globalisasi dan liberalisasi sedang giat dijalankan. Pertukaran teknologi dan latihan ketenteraan bersama merupakan satu projek-projek kecil di bawah projek agung globalisasi yang dipimpin oleh tamadun kapitalis pada hari ini.
Pelbagai projek-projek kecil ini dilakukan demi menjaga kepentingan projek globalisasi pada hari ini. Kepelbagaian dalam kesatuan ini adalah kunci kepada kejayaan globalisasi. Walaupun hutan ditebang, loji nuklear yang memudaratkan dibina dan tanah dipaksa dirampas, kita akan dipaksa menerimanya dan tidak mampu melawan kerana globalisasi yang dipimpin oleh kapitalis ini berkiblatkan keuntungan.
Tidaklah saya mahu mengatakan bahawa globalisasi yang dipimpin oleh sistem kapitalis pada hari ini buruk semuanya. Masih ada perkara baik yang boleh dipuji. Contohnya dari segi kemajuan teknologi, pembangunan dan sebagainya adalah perkara yang kita boleh katakan sebagai nikmat hasil globalisasi.
Kita mampu memiliki teknologi internet, kemajuan seni bina dan kemudahan logistik adalah kerana globalisasi. Globalisasi ini adalah normal dan dilalui oleh semua tamadun yang pernah wujud di dalam dunia ini. Manusia berinteraksi dan berintegrasi demi perdagangan dan perniagaan, berkongsi teknologi dan bertukar tukar ilmu. Ini adalah natural dan sifat manusiawi yang hidup bermasyarakat. Menyokong globalisasi dn liberalisasi bukanlah satu dosa malah ia adalah satu proses kemajuan.
Tiada tamadun yang kekal selamanya. Masih adakah alternatif lain yang mampu menggantikan sistem yang ada pada hari ini? Bagaimanakah bentuk globalisasi pada masa hadapan? Masihkah materialistik dan keuntungan menjadi matlamat manusia? Adakah manusia akan bangun melawan globalisasi hari ini dengan menganjurkan satu sistem yang lebih baik menggantikan sistem kapitalis hari ini? Adakah sistem tidak ditukar tetapi sistem kapitalis ini digantikan dengan sistem yang lebih mengutamakan nilai manusiawi dan kebajikan berbanding keuntungan?


Kesimpulannya, globalisasi harus dijana dengan penuh tanggungjawab. Keuntungan bukanlah lesen untuk kita merosakkan alam dan menghalalkan penindasan. Tidak kira apa sistem sekalipun tanggungjawab perlu ada dan harus menghormati hak manusia dan alam. Jika system hari ini terus gagal bertanggungjawab, maka ianya perlu diganti dengan alternatif yang lain.


AUKU 1971 adalah CANDU

Mahasiswa merupakan satu entiti dalam sebuah masyarakat sivil. Mahasiswa merupakan satu golongan berpendidikan yang tidak sepatutnya dikekang suaranya, dirantai pemikirannya dan dilumpuhkan aksinya.

Sebaliknya mahasiswa harus dibiarkan bebas beridea, mengkritik malah menyuarakan pendapat mereka secara bebas.
Hal ini tidak dapat disangkal di mana mahasiswa yang kritikal dan kritis di universiti merupakan golongan yang sentiasa cakna mengenai permasalahan masyarakat serta berpartisipasi dalam membela nasib masyarakat yang kurang bernasib baik.

Hari ini kita dapat menyaksikan bahawa Auku 1974 atau nama penuhnya Akta Universiti Kolej Universiti merupakan satu akta yang sekian lamanya membelenggu mahasiswa dari menjadi seorang yang kritis dan kritikal.

Kewujudan HEP yang lahir sejak akta ini diluluskan sedikit sebanyak menghalang aktivsma mahasiswa yang kritis dan kritikal. HEP atau nama penuhnya Hal Ehwal Pelajar merupakan satu badan yang menguruskan hal ehwal pelajar di universiti menggantikan “student union”.

Dahulu sebelum tahun 1974 mahasiswa sering berada di jalanan. Mereka bersuara demi kebajikan masyarakat.
Sejarah membuktikan bagaimana Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) memperjuangkan nasib penduduk Baling yang dihimpit kemiskinan, mahasiswa memperjuangkan nasib penduduk Teluk Gong yang dirampas tanah mereka oleh pihak yang tidak berhati perut.

Mahasiswa turun ke jalan raya, berdemonstrasi menuntut kerajaan supaya berfikir dengan waras dan berhati perut.
Rentetan dari peristiwa demonstrasi mahasiswa ini, kerajaan telah menubuhkan satu akta yang menyekat aksi dan idea mahasiswa dan akta itu ialah Auku 1974.

Penubuhan akta ini mengakibatkan perubahan struktur pentadbiran universiti. Dahulunya kebajikan hal ehwal pelajar diuruskan oleh persatuan mahasiswa yang dipilih oleh mahasiswa digantikan oleh HEP.
HEP inilah yang menjadi pendokong kepada Auku yang menyekat idea serta aksi mahasiswa yang sebelum ini bergelut dengan masalah masyarakat dan rencam permasalahan sosial negara ini.

Sesiapa bersuara akan diancam, siapa yang beridea lain dari acuan kerajaan dianggap ancaman, siapa yang kritis dan kritikal dianggap subversif dan mengancam keamanan.
Mahasiswa tidak lagi dihormati, mahasiswa diperlekeh dan lebih teruk mahasiswa yang merupakan pelapis kepada kepimpinan negara dianggap sebagai musuh dan memalukan universiti.

Akta ini seringkali dikaitkan sebagai satu usaha murni kerajaan untuk memudahkan mahasiswa. Semenjak kewujudan badan HEP mahasiswa tidak lagi perlu risau akan kebajikan mereka.
Jika dahulunya kebajikan mahasiswa diuruskan oleh mahasiswa, kini badan HEP yang menguruskannya.

Apabila mahasiswa kritis dan kritikal menyuarakan permasalahan masyarakat akan dituduh sebagai pembangkang yang subversif dan mengancam keamanan.
HEP mencandukan mahasiswa dengan idea bahawa universiti adalah hanya tempat menuntut ilmu bukanlah tempat untuk berpolitik dan memikirkan masalah masyarakat.

Ini amat bertentangan dengan konsep universiti sebagai gedung ilmu. Apakah ertinya jika ilmu yang diterima di universiti tidak dapat diaplikasikan? Bukan sahaja mahasiswa, malah pensyarah turut dikunci mulutnya dan dirantai idea-idea mereka.

Kesimpulannya, kewujudan Auku 1974 dan badan HEP adalah projek pembodohan tirani yang menyekat idea serta suara mahasiswa.
Bukanlah akta ini mahu memudahkan mahasiswa serta mengekang mahasiswa menyertai pembangkang dengan alasan mahasiswa tugasnya hanya belajar bukan berpolitik.

Ini adalah candu yang diberikan kepada mahasiswa agar khayal di dalam dunia ekslusif mereka, belajar di dalam dewan berhawa dingin serta biasiswa yang lumayan tanpa memikirkan masalah masyarakat.
Sebenarnya Auku dan HEP adalah projek pembodohan yang menghalang mahasiswa daripada kritis dan kritikal membahaskan polisi kerajaan dan turun menentang penindasan.

Sebenarnya mereka bukan takut mahasiswa menyertai parti pembangkang tetapi mereka mahu membunuh sikap kritis dan kritikal mahasiswa yang seringkali berlainan pendapat. Ini semua adalah demi survival politik pihak yang berkepentingan.

Hasilnya mahasiswa menjadi “pak angguk” yang takut bersuara secara kritis dan kritikal, mahasiswa menjadi mandom (baca lesu), tidak progressif malah takut untuk berfikir melampaui kotak serta menelan segala apa yg dimuntahkan oleh pensyarah di universiti tanpa usul periksa dan ragu ragu.

Hari ini masih ada mahasiswa yang lantang bersuara dan lantang menyuarakan keperitan masyarakat, tetapi sekali lagi Auku dan HEP mahu mencantas mereka ini. Jumaat ini lapan orang mahasiswa dari Universiti Malaya iaitu Fahmi Zainol yang merupakan presiden PMUM, Khairol Najib Hashim presiden PMIUM (Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya), Safwan Shamsuddin pengerusi Pro Mahasiswa Universiti Malaya, ahli PMUM – Yu Sheng Long, Adam Fistival Wifrid, Abraham, Syamimi Munira Mohamed dan Khairul Anwar – akan dikenakan tindakan tatatertib dan dihadapkan ke mahkamah universiti kerana membawa masuk Anwar Ibrahim untuk berucap di Universiti Malaya baru-baru ini.

Mereka juga berjuang mempertahankan Kampung Chubadak Tambahan yang dirampas tanah mereka baru-baru ini.

Akhir sekali, saya mahu melontarkan soalan yang perlu kalian jawab dengan ikhlas. Adakah ini tidak membunuh generasi yang kritkal dan kritis? Adakah ini tidak membunuh pelapis kepimpinan Negara?

Mereka ini adalah mahasiswa yang lantang ke depan mendepani isu rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Adakah kita rela universiti terus dikongkong Auku dan HEP dengan usahanya yang mengekang idea dan suara mahasiswa? Mahasiswa adalah tulang belakang dan pelapis kepada kepimpinan negara.

Pemimpin datang dan pergi. Apakah kita mahu dipimpin oleh mereka yang penakut serta tidak kritis dan kritikal ideanya? Di manakah hala tuju pendidikan Negara? Suarakan pendapat kalian dan sokonglah perjuangan mahasiswa bagi membentuk sebuah masyarakat sivil. – 5 November 2014